Terus semangat belajar dan berbagi ilmu sampai ke liang lahat, demi menjadi Hamba اللّهُ yang Kaffah.

Majlis Ijab Kabul

Majlis Ijab Kabul adalah saat yang mendebarkan bagi bakal suami. Sah!
Termeterailah ikatan perkahwinan. Tanggungjawab pun terpikul dibahu.
Amanah yang besar perlu dilaksanakan.

Sebelum Majlis Ijab Kabul dilaksanakan, amatlah berharga dan penting
bakal suami isteri mengetahui tentang pengertian dan syarat-syarat
yang terkandung dalam Pernikahan.


AKAD NIKAH

Pengertian Nikah

'Nikah' bererti berkumpul menjadi satu. Seperti perkataan orang Arab
'tanaakahat al-asyjaru' (pokok itu saling bernikah) apabila mereka
melihat pokok condong satu sama lain dan berkumpul.

Menurut istilah hukum syarak nikah bererti suatu akad yang mengandungi
kebolehan untuk melakukan persetubuhan dengan menggunakan
lafaz 'nikah' (menikahkan) atau lafaz 'tazwij' (mengahwinkan). Menurut pendapat
yang lebih sahih, kata nikah itu secara hakiki bermakna 'akad' dan secara majazy
bermakna 'persetubuhan'.


Rukun Nikah

Rukun nikah ada lima:
1. Ada calon suami yang sudah tertentu.
2. Ada calon isteri yang sudah tertentu.
3. Mesti ada wali
4. Ada dua saksi.
5. Ijab dan kabul.

Syarat-syarat Suami
1. Islam.
2. Suami mesti orang yang halal nikah dengan perempuan yang akan
dinikahinya.
3. Calon suami mesti nyata seorang laki-laki.
4. Suami mengetahui dan mengenal nama perempuan calon isterinya dan
mengenal nama ayahnya.
5. Suami bukan di dalam ihram. Sama ada ihram haji atau ihram umrah.
6. Calon suami tidak mempunyai isteri lebih empat orang ketika menerima
kabul.

Syarat-syarat Isteri
1. Calon isteri mestilah perempuan yang halal nikah dengan calon suami.
2. Perempuan calon isteri bukan dalam waktu ihram. Sama ada ihram
haji atau umrah.
3. Calon isteri nyata tidak punya suami (bukan isteri orang).
4. Calon isteri sudah tentu orangnya.
5. Calon isteri nyata seorang wanita.

Syarat-syarat Wali
1. Islam.
2. Laki-laki.
3. Baligh.
4. Berakal sihat.
5. Atas kemahuan sendiri.
6. Adil (tidak fasik). Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Nikah
tidak sah kecuali dengan adanya wali yang mursyid (adil)".
7. Wali bukan dalam keadaan ihram, sama ada ihram haji atau umrah.

Selain ada wali, nikah juga memerlukan dua orang saksi. Wali menikahkan
(mengijabkan) dan saksi menyaksikan pernikahan itu. Rasulullah s.a.w.
bersabda yang bermaksud: "Tidak sah nikah kecuali ada dua orang saksi
yang adil, nikah yang tidak demikian (tidak ada wali dan dua orang saksi)
adalah batal".

Syarat Saksi
1. Islam.
2. Laki-laki.
3. Berakal sihat (tidak gila).
4. Dikehendaki yang sudah baligh.
5. Dapat melihat (tidak buta)
6. Dapat mendengar.
7. Merdeka (bukan hamba abdi).
8. Dapat bercakap.
9. Saksi dikehendaki dapat memahami ijab dan kabul.
10. Saksi hendaklah bukan orang yang boleh menjadi wali bagi
siperempuan yang akan nikah.
11. Adil (tidak fasik).

Ijab Dan Kabul

Ijab ialah lafaz yang diucapkan oleh wali kepada pengantin perempuan
yang dinakahkan kepada pengantin laki-laki. Contoh lafaz (sighah)
ijab: "Saya nikahkan engkau dengan anak saya bernama ......... binti ...... dengan maskahwin sebanyak .... tunai".

Kabul ialah lafaz yang diucapkan oleh pengantin laki-laki selepas wali
mengucapkan ijab. Contoh kabul: "Ku terima nikahnya dengan maskahwin
...... tunai". Kalau maskahwin tidak berupa wang , sebutkan
jenis atau nama barangnya.

Syarat-Syarat Ijab Kabul
1. Ijab mesti menggunakan lafaz 'ankahtuka' (aku nikahkan engkau)
atau lafaz 'zawwajtuka' (aku kahwinkan engkau) tidak boleh menggunakan kata-kata yang lain umpamanya: "Aku ikat engkau atau aku jodohkan engkau dan lain-
lain".
2. Ijab hendaklah diikuti kabul oleh pengantin laki-laki dengan
segeranya.
3. Ijab dna kabul hendaklah didengar dan difaham oleh dua saksi.
4. Ijab dan kabul tidak boleh bertaklik (penggantungan pada sesuatu
kejadian). Contohnya: "Bila anak perempuanku telah ditalak dan habis
masa iddahnya, maka sungguh saya kahwinkan dengan engkau".
5. Ijjab dan kabul tidak dihadkan masanya. Umpamanya si wali berkata:
"Kunikahkan kau dengan anakku bernama ...... dalam masa 10 tahun".
Nikah semacam ini tidak sah sekalipun dalam masa yang sangat panjang, kerana
terjadi seperti nikah Mut'ah.
6. Ijab mesti ta'yin' yakni mesti disebutkan nama anak perempuan yang
dinikahkan. Tidak boleh dengan lafaz: "Kunikahkan engkau dengan salah
seorang anak perempuan saya". Ijab semacam ini batal.

Mahar

Mahar (maskahwin) adalah harta yang diberikan oleh pihak suami kepada
isteri di waktu nikah. Maskahwin boleh diberikan di waktu akad nikah
atau selepasnya. Pemberian maskahwin adalah wajib bagi suami tetapi
ianya tidak menjadi rukun nikah. Akad nikah sah walaupun tanpa menyebut-
nyebut masalah maskahwin, tetapi sunat disebutkan pada waktu akad nikah.

Kadar Maskahwin

Tidak ada ketentuan berkenaan dengan besarnya maskahwin. Kedua belah
pihak boleh menentukan sendiri banyaknya maskahwin mengikut kemampuan calon
suami.
Dalam Islam digalakkan agar maskahwin itu seringan mungkin kerana
itulah yang terbaik.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya sebaik-baik
wanita adalah yang paling ringan maskahwinnya."

Pada hadis lain disebutkan: "Maskahwin yang terbaik adalah yang paling
ringan". Para ulama telah sepakat bahawa maskahwin tidak ada batas
maksimanya, boleh berapa saja asalkan dapat dirunaikan oleh suami.
Namun begitu, keberkatan terletak pada keringanan dan kemudahan.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Andaikan seorang suami
memberi maskahwin kepada isterinya berupa makanan sebanyak dua genggam
tangannya itu sudah halal baginya".

Ketika seorang sahabat akan berkahwin, namun tidak punya apa-apa untuk
dibuat maskahwin, Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya:
Ertinya: "Cuba kau cari walaupun hanya sebentuk cincin besi". (H.R.Muslim)

Betapa Islam sangat meringankan masalah maskahwin, tujuannya agar
tidak menghalang seseorang untuk berkahwin.

*Dipetik dari Buku PERKAHWINAN YANG SUCI